Selasa, 01 Maret 2011

Hasan Al Banna

Al-Syahid Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna rh.a. dilahirkan di
bandar Mahmudiah (Berdekatan Iskandariah) pada tahun 1906. Beliau
menamatkan pengajian di Sekolah Dar al-Ulum, Kaherah dan kemudian bertugas
sebagai pengajar yang sering berpindah satu bandar ke satu bandar. Beliau
mengajak umatnya supaya mengamalkan al-Quran al-Karim dan berpegang
teguh dengan sunnah Nabi s.a.w.. Melalui usahanya ini beribu-ribu mahasiswa,
buruh, peladang dan sebagainya daripada pelbagai lapisan masyarakat
mendapat hidayah.
Setelah itu, beliau menetap beberapa ketika di bandar Ismailiah. Di sini
beliau menubuhkan pejabat pertama Ikhwan bersama-sama beberapa orang
anggota ikhwan lain.
Usaha beliau melangkah setapak lagi apabila beliau mula mengadakan sesi
ceramah serta menyebarkan bahan cetak. Malah beliau mula mengadakan
lawatan ke beberapa bandar dan desa. Kesannya di setiap daerah akhirnya
wujud sebuah pusat dakwah. Dakwah beliau juga bukan terhad untuk golongan
lelaki sahaja malah di Ismailiah beliau menubuhkan Maahad Ummahat al-
Muslimin bertujuan memberikan didikan Islam untuk anak-anak perempuan.
Tidak beberapa lama kemudian beliau berpindah ke Kaherah. Dengan
perpindahan ini bermakna ibupejabat dan pusat pentadbiran juga berpindah ke
Kaherah. Di sini dakwah beliau semakin menyerlah. Ikhwan semakin berkembang
dan jumlah mereka kini mencecah setengah juta orang.
Ahli politik dan kuncu-kuncu mereka mula bimbang dengan pengaruh al-
Syahid. Oleh itu mereka berusaha menyingkirkannya dari medan politik. Namun
segala usaha ini tidak mampu menggugatkan keazaman beliau. Beliau bangkit
memperkenalkan Islam kepada seluruh manusia bahawa Islam mencakupi
akidah, ibadah, tanahair, bangsa, toleransi, kuasa, akhlak, budaya dan undangundang.
Akhbar Ikhwan Muslimin yang diterbitkan setiap hari mula dilancarkan di
Kaherah. Akhbar ini menjadi wahana dalam bentuk penulisan selain ceramah
yang diadakan.
Ketika krisis Palestin meletus, pasukan tentera Ikhwan merupakan pasukan
sukarelawan yang paling aktif. Mereka berjaya mara hingga hampir memasuki Tel
Aviv. Malangnya pihak pemerintah ketika itu Raja Farouq telah mengkhianati
perjuangan ini apabila beliau menandatangani perjanjian damai dan bertindak
menahan pemimpin-pemimpin Ikhwan. Tindakan jahat pihak penjajah tidak
terhenti setakat itu sahaja. Mereka mula merancang untuk membunuh al-Banna.
Ketika al-Banna berada di hadapan ibupejabat Pertubuhan Pemuda Islam di
Kaherah mereka melepaskan beberapa das tembakan dan kemudian melarikan
diri.
Malangnya tidak siapa yang merawat al-Banna. Beliau dibiarkan terlantar di
lantai hospital dengan keadaan darah yang masih mengalir. Mereka hanya
menonton tanpa merasa belas kasihan dan berhati perut. Saudara-mara terdekat
juga dilarang melawat. Akhirnya selepas dua jam, beliau menghembuskan nafas
yang terakhir pada tahun 1949.
Al-Syahid yang dikasihi Allah telah mengabadikan beberapa tulisan yang
amat berharga, antaranya Muzakirat al-Dakwah wa al-Da‘iyah dan beberapa
risalah.

APA ORANG KATA MENGENAI IMAM SYAHID HASAN ALBANNA

“Tokoh Yang Menggegarkan Bumi Mesir dan Dunia Islam”

“… Tokoh ini telah menggegarkan bumi Mesir serta dunia Arab dan Islam
seluruhnya melalui dakwah, tarbiyah, jihad dan ketokohannya yang unggul. Allah
telah mengurniakan tokoh ini dengan bakat dan kebolehan yang dianggap tidak
mungkin wujud menurut pandangan pakar psikologi, pakar sejarah dan para
penganalisis. Kelebihannya terletak pada kemampuan akal yang begitu hebat
dan pintar, kefahaman yang luas, emosi yang begitu mantap dan stabil, hati
yang penuh keberkatan, jiwa yang muda membara, lisan yang petah, zuhud,
qana’ah dalam hidup tanpa mengenal erti susah, rajin dan berwawasan jauh
tanpa mengenal erti putus asa dalam usaha menyebarkan dakwah dan prinsip,
jiwa yang penuh inspirasi dan bercita-cita tinggi, bersemangat tinggi,
berpandangan realistik dan jauh, tabah dan prihatin dengan dakwah, bersikap
merendah diri terutama yang membabitkan dirinya sehingga diakui oleh sesiapa
sahaja yang mengenalinya. Beliau ibarat sinaran cahaya yang lembut, tidak
terlalu cerah, tidak berbalam dan tidak tertutup.
Kepintaran pendakwah ini begitu menonjol dalam dua aspek yang jarang
sekali dimiliki pendakwah dan pemimpin yang lain. Pertama, dedikasinya kepada
dakwah selain keyakinan, pengorbanan dan penggemblengan seluruh potensi
serta kemampuan yang ada untuk dakwah. Ciri ini sudah tentu menjadi syarat
utama atau ciri utama bagi seorang pendakwah atau seorang pemimpin yang
Allah mahu salurkan segala kebaikan melalui mereka. Kedua, pengaruhnya yang
begitu kuat dalam jiwa sahabat serta anak muridnya selain kejayaannya dalam
bidang tarbiah dan melahirkan pendakwah. Beliau adalah seorang pembina
generasi baru, seorang pendidik bagi sebuah bangsa dan seorang perintis
sebuah institusi ilmu, fikrah dan akhlak.
Namun saya tidak berkesempatan untuk bertemu dengannya di Mesir atau
di luar Mesir. Suatu ketika saya berpeluang melawat Mesir namun rahmat Allah
lebih mengasihi beliau. Ketika peristiwa kesyahidannya yang menggegarkan jiwa
berjuta umat Islam, umurnya ketika itu masih belum mencecah empat puluh dua
tahun. Dunia Islam kehilangan seorang yang unggul dalam sejarah manusia.
Sehingga kini saya masih rasa terkilan kerana hilang kesempatan ini…”

Abu al-Hasan al-Nadwi


“Berkurun lamanya umat Islam tidak melihat orang seperti Hasan al-
Banna”

“Secara terbuka saya katakan dan apa yang saya katakan ini tidak salah
untuk anda sampaikan kepada orang lain. Saya tegaskan di sini bahawa telah
berkurun lamanya umat Islam tidak melihat orang seperti Hasan al-Banna.
Segala sifat ada padanya dan terpampang dalam peribadinya. Saya tidak nafikan
kemampuan para pembimbing, keilmuan para cendikiawan, pengetahuan orang
yang arif, kepetahan para pemidato dan ketajaman bahasa para penulis,
ketokohan para pemimpin, kemahiran mengurus yang ada pada para pentadbir,
kebijaksanaan para pemerintah, semua ini saya tidak nafikan ada pada mereka
semenjak dahulu hingga sekarang. Namun keseluruhan sifat yang hebat ini
jarang sekali bergabung dalam satu tokoh sepertimana yang dimiliki oleh Imam
al-Syahid.
Beliau dikenali oleh masyarakat dan mereka yakin dengan kejujurannya.
Saya termasuk di kalangan mereka yang mengenalinya. Secara keseluruhannya
boleh saya katakan orang ini telah menyerahkan segalanya untuk Allah; roh dan
jasadnya, jiwa dan raganya serta segala tindakan dan gerak-gerinya. Beliau
menyerahkan segalanya untuk Allah dan Allah melimpahkan segala-galanya
untuknya. Allah memilih dan meletakkan beliau sebaris dengan pemimpin para
syahid yang suci…”

Sheikh Muhammad al-Hamid


“Manusia yang ulung”
“… Pada hari Hasan al-Banna dibunuh, dunia ketika itu ibarat suatu yang
paling tidak berharga. Mengapa peluru ini perlu menembusi tubuh ini. Ia
menembusi tubuh yang diasuh dengan ibadah yang khusyuk, dibelai dengan
sembahyang dan sujud yang lama. Ia menembusi tubuh yang diselaputi debu
sepanjang perjalanannya di jalan Allah. Tubuh yang menempuh perjalanan yang
tiada perhentian. Perjalanan yang membawa berjuta manusia mendengar katakata.
Membawa manusia kepada Allah melalui suaranya yang bersemangat.
Menyatukan beribu-ribu manusia untuk berada bersama di medan Islam.
Melalui lidahnya, al-Quran kembali segar. Ciri pewaris nabi terpancar pada
perwatakannya. Manusia yang unggul ini bangkit ibarat tembok kukuh menahan
gelombang materialisme yang melanda. Bangkit bersama satu generasi baru
yang cintakan Islam dan berpegang teguh dengan Islam. Eropah memahami
kewujudan manusia yang agung ini akan mengancam kewujudan mereka di
Timur. Justeru mereka berbisik kepada kuncu-kuncu mereka. Akhirnya Imam
Syahid terpaksa bermandikan darahnya sendiri dan generasi yang dididiknya
terpaksa merengkuk di dalam penjara…”

Sheikh Muhammad al-Ghazali


“Teladan dalam segala-galanya”
“… Hasan al-Banna adalah seorang imam yang sejati. Beliau menjadi
teladan dalam segala-galanya; ilmunya, imannya, keikhlasannya, kecergasannya,
kepintarannya, kepekaannya, hatinya yang berjiwa besar dan rohnya yang suci.
Bagi saya Hasan al-Banna adalah hujah yang Allah tunjukkan pada saya
bahawa Islam ini mampu membina para pejuang. Islam mampu mewujudkan
manusia yang ulung. Mampu membentuk darah daging ini menjadi cahaya yang
indah. Beliau seorang yang berfikiran luas. Jiwanya berhubung dengan alam
rahsia. Beliau tidak pernah leka untuk mengingati Allah. Ibarat sebuah gunung
yang memiliki segala-galanya; ketinggian, keteguhan serta kekuatan. Seorang
yang berjiwa kental dan tidak pernah silap menentukan halatujunya. Seorang
yang hebat mengisi hati kami dengan cinta Allah. Menyuluh dada kami dengan
cinta Islam. Membelai kami dalam suasana yang suci bersih tanpa sebarang
noda.
Hari Hasan al-Banna dibunuh adalah hari yang paling gelap dalam sejarah
manusia. Kehilangannya bererti kehilangan nilai kemanusiaan. Sukar untuk
mencari gantinya. Hasan al-Banna dibunuh setelah dua puluh tahun bersama
jihad, tanpa henti siang dan malam…”
Sa‘id Ramadhan



“Sebuah gagasan yang sebati dalam jiwa”
Hasan al-Banna ibarat satu gagasan yang mantap. Gagasan yang tidak
pernah mengejar kekayaan, tidak pernah mencari keuntungan yang bersifat
sementara. Justeru beliau hidup bersama kita dengan cara yang amat mudah
dan ringkas. Beliau menerima dunia dengan penuh bersahaja. Beliau tidak
pernah mencari dunia atau menolak terus dunia. Segalanya sekadar secukupnya.
Beliau hanya mengambil sekadar yang perlu. Beliau makan apa yang ada. Pakai
pakaian yang ada. Tempat tinggalnya sekadar seadanya. Beliau hidup serba
ringkas. Beliau menyerahkan nasib anak-anaknya kepada Allah dan tiada apa
yang ditinggalkan untuk mereka. Baginya segala kebahagiaan dan keseronokan
dalam hidup ini ialah menyampaikan kalimah Allah kepada seluruh manusia.
Meluahkan segala ilmu yang tersimpan di dadanya. Beliau mahu melihat
gagasannya yang mulia dan ideal ini menjadi kenyataan. Beliau mahu ia menjadi
realiti yang hidup di tengah masyarakat manusia. Menenggelamkan segala
kesesatan yang merintangi jalannya. Memberikan sinar cahaya pada dunia ini.
Apabila semua ini menjadi kenyataan barulah jiwanya tenang dan terpancar di
lubuk hatinya sinar nikmat, cahaya dan kegembiraan.
Al-Bahi al-Khauli,

Tidak ada komentar:

Posting Komentar